Thursday, August 13, 2009

Cerita Seutas Tali Gantung

______________
_______________
_______________
Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling
bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan
kulit banduan yang akan digantung.

Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.
Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan
diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90
kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia
diklasifikasik an sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

'Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh
poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada
empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,' jelas
Samuel.

Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang
berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.


APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung
dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi
sehingga hukuman dilaksanakan.

Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka
dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang
bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga
habis keseluruhan proses rayuan yang membabirtkan Mahkamah Rayuan,
Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah
Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di
mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad
pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara
5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

'Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan
beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada
hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya
lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,' kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan
pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman
gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

'Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar
dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan
harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),' kata
Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya
yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu
di luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir.'

Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan
terakhir ini.

Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai
RM7.50.


HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman
gantung 'poie dengan rela' setelah menunggu begitu lamo untuk
hukuman dilaksanakan.

'Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan
tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi
agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

'Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka
lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila
kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang
salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak
tahan lagi menunggu,' katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka
akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

'Jangan ikut tabiat buruk ayah' antara kata-kata terakhir seorang
banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada
hari hukuman.

'Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar
sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai
kasut berharga RM300. Mati penuh gaya. Banduan itu kata dengan
jenaka,' cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk
pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari
hukuman akan dilaksanakan.


BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan
secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian
5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian
suasana penjara.

Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar
dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat
kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya
membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian
berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan
akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam
dibiar tergantung.

'Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati
jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada
dia, semuanya tak ada masalah.

'Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan
letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-
bos saya dulu,' kata Samuel.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada
anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.

'Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal,
lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi
penagih, satu keluarga akan terjejas,' katanya sambil menjelaskan
bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails